Followers

Thursday 23 January 2014

MENCARI MUSLIMAH SEJATI

بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamua'laikum W.B.T
MENCARI  MUSLIMAH SEJATI

Keanggunan yang terpancar darimu muslimah
Ketegasan jiwamu bak perisai nan indah
Kau hadirkan pesona penuh berbalut takwa
Laksana syurga di dunia

Keteguhan hatimu oh wanita muslimah
Ketangguhan dirimu yang terbingkai solehah
Perhiasan dunia tunduk pada yang Kuasa
Sejukmu mententeramkan jiwa

Engkau wanita syurga bidadari dunia
Kehormatan kau jaga dengan penuh cinta
Engkau wanita syurga
bak permata berharga
berbinar indah dalam kesucian jiwa 


Aku cuba menghayati lirik lagu yang selaluku dengar yang didendangkan oleh penyanyi Indonesia, Oki Setiana Dewi. Pertama kali aku mendengar lagu ini sewaktu program Bicara Siswi yang dianjurkan oleh Majlis Perwakilan Pelajar(MPP) dengan kerjasama Sekretariat Pendakwah Muda Malaysia(SPMM) di Universiti Sains Islam Malaysia(USIM). Aku mula tertarik dengan bait-bait yang dinyanyikannya. Baru aku sedari lirik lagu ini mempunyai makna tersurat dan tersirat. Ya Allah, tinggi sungguh nilai seorang insan yang bergelar muslimah ini.

Selama ini kita hanya tahu muslimah itu adalah seorang perempuan yang beragama Islam berakhlak mulia dan melakukan perintah serta suruhanNya. Melalui apa yang aku baca daripada novel Salju Sakinah karya Zaid Akhtar  yang aku pinjam daripada sahabatku, pelbagai definisi dan makna daripada perkataan muslimah ini.  

·         Seorang muslimah bermakna kita perlu menjadi seorang wanita Islam yang benar-benar mengamalkan segala tuntutan agama sepertimana yang digariskan oleh Al-Quran dan As-Sunnah. Bukan hanya kalimah syahadah sebagai bukti keislaman, malah menjadikan Islam sebagai cara hidup.
·          Seorang mukminah bukan sekadar beriman kepada Allah, beriman kepada Malaikat, beriman kepada rasul-rasul, beriman kepada kitab-kitab, beriman kepada hari Kiamat, dan beriman kepada Qada’ dan Qadar. Bahkan melaksanakan amar makruf nahi mungkar. Hakikat iman yang sebenar ialah mengikrarkan dengan lidah, membenarkan dalam hati, dan beramal dengan anggota badan.
·         Seorang mujahidah adalah seorang wanita yang berjihad dengan bersungguh-sungguh dalam apa jua situasi demi memastikan Islam terus bernafas dan dipandang tinggi.
·         Seorang muslihah adalah seorang wanita yang berperanan melakukan tugas-tugas islah dan pembaikan ke atas kerosakan yang berlaku dalam umat dan masyarakat.

Teringat aku akan satu hadis yang aku dengari dalam sebuah rancangan televisyen daripada seorang ustazah. Hadis berbunyi: Daripada Ummu Salamah, isteri Nabi SAW, katanya: Aku berkata, “Wahai Rasulullah! Adakah wanita di dunia lebih baik atau bidadari?” Baginda menjawab, “Wanita di dunia lebih baik daripada bidadari sebagaimana yang zahir lebih baik daripada yang batin.” Aku berkata, “Wahai Rasulullah! Bagaimanakah itu?” Baginda menjawab, “Dengan solat, puasa dan ibadat mereka kepada Allah. Allah akan memakaikan muka-muka mereka dengan cahaya dan jasad mereka dengan sutera yang berwarna putih,berpakaian hijau dan berperhiasan kuning..” (riwayat al-Tabrani).

Ya..Memang benar! Sungguh tinggi darjat seseorang wanita solehah, sehingga dikatakan lebih baik daripada bidadari syurga. Wanita yang menjaga suruhannya. Tapi alangkah sedihnya masih ada segelintir wanita yang terpesong daripada landasannya. Semoga hadis ini menjadi inspirasi bagi diri wanita dalam memperbaiki diri agar menjadi lebih baik daripada bidadari syurga. Insyaallah. Hati kecilku berbicara.

Nilai dan maruah seorang muslimah itu dan tidak hanya dibeli dengan wang ringgit mahupun harta seantero dunia. Muslimah itu banyak peranannya. Selain menjadi perhiasan dunia malah penting buat kaum Adam dalam melayari bahtera rumah tangga kelak. Hanya wang mahar sebagai syarat untuk memperisterikan seorang muslimah ini. Tidak ketinggalan juga masih ada insan yang  bermaharkan hanya senaskah Al-Quran sebagai tanda pemberian yang bernilai dan berfaedah daripada si suami kepada isteri kerana akad nikah. Hikmah Islam tidak menggalakkan menetapkan kadar mahar yang tinggi kerana ia boleh menimbulkan kesulitan kepada  bakal suami.Selain itu, akan menyebabkan ramai gadis yang tidak berkahwin serta akan  menimbulkan masalah kahwin lari.

Aku melihat sekeliling persekitaran kampusku. Ramai sungguh kaum Hawa jika hendak dibandingkan dengan kaum Adam. Hampir 70 peratus adalah kaum wanita. Memang tidak dinafikan lagi, hampir keseluruhan institusi pengajian majoritinya adalah kaum Hawa. Aku masih teringat pensyarahku pernah berkata sewaktu didalam kuliah dahulu. Mungkin purata seorang lelaki di universiti ini boleh dinisbahkan dengan empat orang wanita jumlahnya. Cukuplah untuk dibuat isteri. Masing-masing hanya tersenyum. Susah juga bila mereka hendak membuat pilihan. Mencari yang sesuai dan memenuhi citarasa masing-masing. 

Lazimnya, pelajar-pelajar di tempat pengajianku memang mudah untuk dicari yang bertudung labuh. Ada yang nampak qanaah serta zuhud. Menjaga tingkah laku serta pergaulan mereka.Adakah ia digelar muslimah sejati? Alangakh indahnya jika digelar muslimah sejati. Layakkah aku untuk mendapat gelaran itu? Seorang muslimah sejati bukan dilihat dari kecantikan dan keayuan wajahnya semata-mata.Wajahnya itu hanyalah satu peranan yang amat kecil,tetapi muslimah sejati dilihat dari kecantikan dan ketulusan hatinya yang tersembunyi. Itulah yang terbaik. Muslimah sejati juga tidak dilihat dari bentuk tubuh badannya yang mempersona,tetapi dilihat dari sejauh mana ia menutupi bentuk tubuhnya yang mempersona itu.

      Muslimah sejati bukanlah dilihat dari sebanyak mana kebaikan yang diberikannya ,tetapi dari keikhlasan ketika ia memberikan segala kebaikan itu. Muslimah sejati bukanlah dilihat dari seberapa indah lantunan suaranya tetapi dilihat dari apa yang sering mulutnya bicarakan. Muslimah sejati bukan dilihat dari kebolehan berbahasanya, tetapi dilihat dari bagaimana caranya ia berbicara dan berhujah dengan kebenaran. Berdasarkan ayat 31, surah An Nur, "Seseorang wanita islam hanya boleh mendedahkan wajah,dua tapak tangan dan cincinnya di hadapan lelaki yang bukan mahram". 

Tiba-tiba aku terdengar suara seorang muslimah yang berbual dengan seorang kaum Adam. Mungkin membincangkan mengenai tugasan mereka. Aku pernah membaca sepotong ayat daripada surah Al Ahzab ayat 32. “Janganlah perempuan -perempuan itu terlalu lunak dalam berbicara sehingga menghairahkan orang yang ada perasaan dalam hatinya,tetapi ucapkanlah perkataan yang baik-baik”. Ciri-ciri muslimah sejati bukan dilihat dari sifat mesranya dalam bergaul tetapi dilihat dari sejauh mana ia mampu menjaga kehormatan dirinya dalam bergaul.

Aku memerhatikan lagi. Manis sungguh si tudung labuh. Nampak lebih sempurna apabila digayakan dengan jubah kosong yang rekaannya hanya biasa sahaja. Aurat tertutup sempurna. Ada juga yang bertudung bawal biasa. Mengikut fesyen peredaran zaman. Berselendang dan ada juga yang menggayakan pelbagai pakaian seperti fishtale dan sebagainya .Pelbagai gelagat serta ragam yang aku lihat. Oh dunia fanaku. Peliharalah hamba-hambamu ini dari kemungkaran serta bimbinglah kami semua ke sirotulmustaqim.Ameen.

 Ketahuilah muslimah sejati bukan dilihat dari keberaniannya dalam berpakaian grand tetapi dilihat dari sejauh mana ia berani mempertahankan kehormatannya melalui apa yang dipakainya. Muslimah sejati bukan dilihat dari kekhuwatirannya digoda orang di tepi jalan tetapi dilihat dari kekhuwatirannya dirinyalah yang mengundang orang tergoda.

Hidup ini penuh dengan pelbagai ujian dan dugaan. Bagi seorang yang bergelar muslimah sejati, bukanlah dilihat dari seberapa banyak dan besarnya ujian yang ia jalani tetapi dilihat dari sejauh mana ia menghadapi ujian itu dengan penuh rasa redha dan kehambaan kepada Tuhannya ,dan ia sentiasa bersyukur dengan segala kurniaan yang diberi. 

Siapakah yang memiliki ciri-ciri seperti itu?Bolehkah aku  menjadi seperti itu ? Seorang insan yang bergelar muslimah sejati? Mampu dan layakkah aku Ya Allah. Begitu banyak persoalan yang bermain di benak fikiranku. Tiba- tiba bahuku disentuh oleh seseorang. Rupa-rupanya sahabatku Hikmah. Terus aku bertanya soalan padanya. “Layakkah kita digelar muslimah sejati? Muslimah yang mulia disisi Allah SWT. Siapakah yang ada ciri-ciri sebegitu sahabatku?”.Lalu Hikmah memberikan aku sebuah buku. “Pelajarilah mereka!supaya kamu berjaya nanti. Insyaallah..kamu juga boleh menjadi muslimah sejati dan wanita yang solehah kelak,malah semua wanita boleh”.kata Hikmah dengan penuh hikmahnya.Sesuai dengan namanya. Aku pun segera mengambil buku tersebut lalu terlihatlah sebaris perkataan berbunyi ISTERI RASULULLAH. Lalu aku terbaca sepotong hadis “Apabila seorang perempuan itu solat lima waktu ,puasa di bulan ramadhan ,menjaga kehormatannya dan mentaati suaminya,maka masuklah ia ke dalam syurga dari pintu-pintu yang ia kehendakinya”.(riwayat Al Bazzar)

“Sudah tu, mari kita ke kelas. Nanti terlewat pula.” Ujar Hikmah kepadaku. “ Baiklah.Mari. Terima kasih ya Hikmah atas buku ini dan aku akan mencuba dan berusaha menjadi seorang muslimah sejati. Insyaallah”. Kami berbual sambil kaki menuju ke kelas.



p/s: Harap karya ku ini diterima..Diri ini masih belajar dan berusaha untuk mencuba menceburi bidang penulisan..InsyaAllah..Doakan ^-^

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...